Saturday, April 7, 2012

Harapan III...

        Mimik muka Dr Anitha yang bersahaja membuatkan aku tidak dapat mengenal pasti apakah yang difikirkan oleh seorang doktor pakar itu. Kelihatannya Dr Anitha dan doktor-doktor yang lain rancak berbincang mengenai sesuatu yang ku kira sangat serius. Aku mula berfikiran negatif. Ibu yang turun ke kafe di tingkat 1 masih lagi tidak muncul.
       "Ana, doktor tengah bincang pasal apa tu?" Mak Cik Hasnah bertanyaku dengan hasrat ingin mengetahui apakah yang sedang dibincangkan doktor-doktor itu.
       "Ana tak tahulah mak cik, mungkin mereka semua tengah bincang tentang result MRI scan Ana tadi kot... Ana takut la mak cik..." perasaan risau ini tidak mampu aku pendamkan seorang diri. Aku meluahkan juga kepada Mak Cik Hasnah.

        Mak Cik Hasnah juga sedang mendapatkan rawatan. Cuma Mak Cik Hasnah menghidapi penyakit barah payudara tahap ketiga. Aku dimaklumkan bahawa Mak Cik Hasnah sudah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 3 kali. Walaupun keadaannya kelihatan kurus dan tak bermaya, tetapi Mak Cik Hasnah mempunyai semangat yang kuat untuk berjuang melawan penyakitnya ini. Mak Cik Hasnah menjadi tulang belakangku untuk terus kuat melawan penyakit ini. 
        "Ana berdoa banyak-banyak ya... InsyaAllah jika kita berdoa dan pasrah pada-Nya, Dia akan sentiasa dekat dengan kita..." Mak Cik Hasnah cuba menenangkan ku.

::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::

        Aku tidak mampu menahan kerisauan dan sebak dalam diriku ini. Aku tidak dapat membayangkan bagaimana keadaanku nanti apabila menjalani kemoterapi. Ternyata perbincangan serius sebentar tadi benar-benar membawa erti. Aku dimaklumkan bahawa tumor itu semakin membesar dan mengganggu bahagian otakku yang berfungsi dalam pertuturan. Dr Anitha hanya mengukir senyuman kecil yang menyembunyikan perasaan simpati ketika beliau memberitahu keputusan scan itu. 
       "Ya Allah... aku redha dengan ujian-Mu ini ya Allah... Sesungguhnya ujian yang Engkau berikan ini tidak lain hanya kerana ingin menambahkan ketakwaan dan keimananku kepada-Mu ya Allah..." aku merintih sendirian di dalam hati ini. Aku tidak mampu berkata-kata kerana perasaan takut ini menguasai diri.
       "Ana... dah jangan nangis lagi..." ibu memujukku.
       "Ibu, andai Ana tak dapat bertahan macam mana ibu..." tanpa sedar aku menuturkan kata-kata yang meruntuhkan semangatku sendiri.
        Ibu tersenyum lalu keluar meninggalkan ku sendirian. barangkali ibu menahan sebak dan tidak mahu menangis di hadapanku. Kemudian aku lihat ibu kembali ke dalam bilik wad ini dengan membawa 2 orang pelawat.
        "Maksu!!.." aku tergamam tatkala Maksu Lia masuk ke dalam bilik wadku bersama ibu dan nenek. Maksu Lia ialah mak cik saudara aku tunggal. Maksu Lia merupakan adik ibu. Mereka tidak mempunyai adik-beradik lain. Maksu sangat rapat denganku sehingga ketika Maksu ingin melanjutkan pelajaran ke Korea, aku tidak melepaskan tangan Maksu Lia yang ingin menaiki kapal terbang ketika itu. Malah, aku terus menggenggam tangannya sehingga ibu terpaksa meleraikan genggaman tanganku itu. 
         Kini, selepas 3 tahun, Maksu Lia pulang semula ke Malaysia. Kelihatannya Maksu Lia turut bersedih dengan takdir ini. Maksu Lia terus memelukku dengan erat. Tangisannya tidak dapat dikawal sehingga teresak-esak dan tersedu-sedu. Aku juga tidak dapat menahan perasaan sedih bercampur rindu. Sedih kerana disaat kepulangan Maksu Lia yang aku nantikan ini, aku pula tidak dapat meluangkan masa bersamanya.
         "Ana kuat kan.. Maksu tahu, anak saudara Maksu yang seorang ni kuat budaknya..." Maksu juga memujukku. Aku tidak berkata apa-apa melainkan tersenyum walaupun masih menangis.
         "Kaklong, nanti biar Lia jaga Ana la... Kaklong rehat kat rumah ok?.." Maksu Lia memberitahu ibu niatnya untuk menjagaku.
         "Takpe la... biar Kaklong jaga Ana, kan Lia baru balik dari Korea... Rehat la dulu kat rumah.. esok Lia datang lagi..." kata ibu.
         "Biar la Lia jaga... Lia bukan letih sangat pun... Kaklong lagi letih kan... Kaklong rehat dulu nanti Lia jaga Ana ok?... Lagipun Lia dah lama tak luangkan masa dengan Ana ni... Ye kaklong?..." Maksu Lia tetap bertegas mahu menjagaku. Ibu hanya bersetuju dan pulang bersama nenek.

::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::

          "Ana, sini akak nak check blood pressure..."  kak Nora, jururawat yang bertugas shif malam memanggilku untuk memeriksa tekanan darah. 
          Sementara itu, kak Nora juga sempat memberitahuku tentang rawatan yang bakal dijalankan ini. "Nanti masa chemo, Ana jangan fikir bukan-bukan tau... banyakkan minum air masak sebab bila chemo nanti badan akan memerlukan banyak air... Malam ni tidur awal tau... Esok akan ada pegawai farmasi yang akan beri taklimat tentang chemo yang akan dijalankan. So, jangan risau tau..." 
         Aku mengangguk tanda faham akan pemberitahuan kak Nora tadi. Walaupun mataku masih bengkak dek tangisan tanpa henti sebentar tadi, aku cuba untuk tersenyum kepada kak Nora...
         "Ana, dah tido cepat... esok nak buat chemo kan... kena tido awal... Ana nak Maksu tepuk belakang Ana macam Ana masih kecil dulu ke?..." Maksu Lia bergurau denganku.
          Aku hanya ketawa kecil dengan gurauan Maksu Lia. 
          Entah bagaimana keadaanku esok..

                                                                                                                                          bersambung...